Hampir 4 tahun berlalu....
Terengganu pernah dilabelkan sebagai "kilang" sukan Malaysia.
Tahun 2012 akan menyaksikan Akademi Bola Sepak, Akademi Badminton dan Akademi Renang diwujudkan di negeri ini.
Berikut adalah petikan daripada akhbar Kosmo! yang ditulis dan terbitkan pada:
Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN on Rabu, 28 Disember 2011
PENYU tidak menangis lagi. Itu hakikat besar yang telah diubah hampir 1.5 juta penduduk di negeri Terengganu.
Sang Penyu kini makin bertenaga dan terus garang, berenang merentasi
lautan untuk mengibarkan bendera Hitam Putih di seluruh pelosok tanah
air.
Tahun 2001 telah menjadi bukti. Bukti kepada kelahiran sebuah negeri
dari Pantai Timur yang terus megah di puncak pembangunan sukan negara.
Berkeluasan 12,955 kilometer persegi, negeri yang cukup sinonim
denankeropok lekor ini secara perlahan-lahan menembusi tembok dan
benteng untuk berdiri sama tinggi dengan negeri lain.
Siapa tidak kenal dengan jaguh basikal dunia, Azizulhasni Awang.
Melengkapkan lagi kecemerlangan adalah kehadiran ratu basikal Asia,
Fatehah Mustafa.
Dua ikon sukan basikal negara ini adalah contoh atlet sejati kelahiran
Terengganu yang berjaya menjulang Jalur Gemilang di serata pelosok
dunia.
Ironinya, Azizulhasni dan Fatehah bukanlah satu-satunya kejayaan sulung yang dicipta Terengganu.
Namun, sistem pembangunan sukan yang tersusun hasil idea kerajaan negeri
serta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSN) telah meletakkan negeri ini
sebagai juara sebenar sepanjang tahun 2011.
Buktinya, penganalisis sukan, Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim pernah
menyuarakan pandangannya agar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melihat
semula modul yang digunakan Terengganu dalam mengurus dan mentadbir
sukan.
Jelas pakar sejarah itu, Terengganu dahulunya merupakan pasukan tercorot
dalam sukan berbanding Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak, namun
secara tiba-tiba negeri ini telah melonjak sebagai kuasa baru.
Semua ini, kata Kay Kim, adalah disebabkan kemampuan Terengganu mengenalpasti bakat di kalangan anak-anak tempatan.
Pandangan jujur beliau itu sangat berasas selepas melihat kepada
kejayaan Terengganu menjuarai temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2011 buat
kali ketiga berturut-turut.
Temasya yang berlangsung di Lembah Klang itu menyaksikan Terengganu
mengumpul pungutan 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa untuk
muncul juara keseluruhan sekali gus mengulangi pencapaian edisi 2010 di
Melaka dan 2008 di laman sendiri.
Paling menarik, kejayaan itu dilakar tidakpun sampai 24 jam selepas
pasukan bola sepak Terengganu menewaskan Kelantan pada perlawanan akhir
untuk menjulang Piala FA buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.
Bagaimanapun, bagi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi
Mamat, beliau mengakui tahun 2011 merupakan tahun penuh mencabar buat
Terengganu dalam lapangan sukan.
Sebelum berlangsungnya temasya Sukma dan saingan bola sepak, Rozi
menjelaskan keupayaan pengurusan Terengganu terlebih dahulu diuji dalam
perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.
Pada perlumbaan berstatus Hors itu, Terengganu mencipta sejarah
tersendiri apabila menampilkan pasukan sendiri yang dikenali sebagai
Terengganu Cycling Team (TSG).
“Ia adalah penampilan pertama pasukan Terengganu pada perlumbaan LTdL
dan kami berjaya menduduki tempat kelapan keseluruhan daripada 23
pasukan yang mengambil bahagian,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Perlumbaan dua minggu itu turut menyaksikan TSG menduduki tempat kelima
mengatasi satu lagi pasukan benua, LeTua Cycling Team (L2A) dan pasukan
kebangsaan Malaysia dalam kedudukan pasukan Asia.
Rentetan daripada kejayaan pada LTdL, Sukma dan Piala FA serta pelbagai
kejohanan peringkat kebangsaan yang disertai, Rozi menjelaskan bahawa ia
adalah bukti kepada kesungguhan anak-anak negeri ini untuk berjaya.
Jelasnya, kejayaan itu bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, tetapi
telah banyak pengorbanan dibuat termasuk menerusi wang ringgi dan tenaga
dalam memastikan sukan di Terengganu terus mekar.
“Jika kita lihat perkembangan sukan di negeri ini, ia sebenarnya sedang
menuju ke satu standard yang cukup tinggi. Kami bermula sejak 2006
menerusi program-program pembangunan yang dilakukan di peringkat akar
umbi.
“Pada 2008 iaitu apabila Sukma berlangsung di Terengganu, kami telah
muncul juara keseluruhan. Walaupun ada pihak yang menganggap ia adalah
kejayaan selaku tuan rumah, kami telah buktikan apabila mempertahankan
kejayaan itu di Melaka pada 2010,” katanya.
Ditanya rahsia sebenar pembangunan yang dibuat, Rozi mengakui ia adalah
hasil kerjasama kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan tidak
berbelah bagi kepada sebarang aktiviti sukan di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri menerusi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said
telah memberi bajet besar kepada MSN untuk mengadakan lebih banyak
akademi pembangunan dalam melahirkan atlet yang berkualiti.
“Tahun 2012 akan menyaksikan Akademi Bola Sepak, Akademi Badminton dan Akademi Renang diwujudkan di negeri ini.
“Misi Terengganu kini adalah untuk mengeksport lebih ramai atlet berkualiti di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Menyusuri lagi kejayaan yang dicipta Terengganu sepanjang 2011, seramai
54 anak kelahiran negeri itu telah terpilih menyarung jersi Malaysia
untuk beraksi di pentas Sukan SEA di Indonesia.
Rozi menjelaskan, kejayaan itu bukan bersandarkan kepada kuantiti
semata-mata, tetapi pemilihan yang dibuat adalah berdasarkan kualiti
pada atlet-atlet Terengganu yang beraksi dalam acara bola lisut, kenu,
silat, basikal, sepak takraw, judo, olahraga, bola sepak, memanah dan
lawang pedang.
Menyentuh perkembangan Liga Malaysia, beliau turut melahirkan pujian
apabila dua pasukan dari negeri ini iaitu Terengganu dan T-Team berjaya
menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik Piala Malaysia.
“Terengganu paling cemerlang apabila muncul juara Piala FA selain menduduki tempat kedua dalam Liga Super dan Piala Malaysia.
“Namun, kehebatan T-Team juga perlu diakui kerana sebagai pasukan kelab,
mara ke separuh akhir Piala Malaysia merupakan satu pencapaian
membanggakan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah MSN negeri, Zainal Abidin Hussin ketika ditanya
mengenai perkembangan sukan Terengganu sepanjang 2001 tampil memberi
kredit kepada ibu bapa di negeri ini yang telah menjadi individu pertama
membentuk budaya sukan di kalangan anak-anak.
Katanya, trend ibu bapa membawa anak-anak ke akademi termasuk menghantar
untuk menyertai apa juga pertandingan adalah bukti kepada kesedaran
mereka mengenai kepentingan sukan di negeri ini.
“Menjadi atlet bukan lagi semata-mata untuk memburu emas mahupun perak,
tetapi ia adalah satu kerjaya yang menjamin masa depan anak-anak.
“Menerusi pelan yang dilakukan oleh kerajaan negeri, mana-mana atlet
yang berjaya tidak kira di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa
akan diberikan insentif yang bersesuaian,” katanya.
Namun, Zainal mahu lebih bersikap realistik mengenai masa depan sukan di
Terengganu dengan tidak terlalu bergantung kepada sukan tradisi negeri
ini seperti berbasikal dan kenu serta mendayung.
“Untuk menjadi kuasa sukan yang baru maka pelbagai cabaran perlu
ditempuhi. Kami perlu menguasai lebih banyak sukan-sukan utama seperti
renang, terjun, angkat berat dan badminton.
“Sasaran kita pada 2012 adalah untuk memastikan gelaran juara
keseluruhan Sukma yang bakal berlangsung di Pahang nanti berjaya
dipertahankan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT),
Datuk Che Mat Jusoh mengakui, bola sepak Terengganu telah kembali ke
landasan sebenar dengan kejayaan yang dicapai sepanjang 2011.
Katanya, paling membanggakan apabila ramai pemain pasukan Terengganu
terpilih untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan mahupun skuad Harimau
Muda.
Antara yang mencuri tumpuan, katanya, adalah Zubir Azmi, Ashaari
Shamsudin, Sharbinee Alawie, Joseph Kalang Tie dan Abdul Hadi Yahya.
- KOSMO!
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment